Sebagai pengusaha kedai sudah tentu anda tidak ingin belanjakan kos yang banyak untuk tarik pelanggan. Malah, anda mungkin tiada masa untuk belajar kaedah marketing online yang rumit seperti Facebook Ads. Baru-baru ini, salah seorang pembaca kami tanya bagaimana nak tarik pelanggan ke premis kedai offline.
Setelah lebih 10 tahun menjalankan marketing untuk perniagaan sendiri, dan juga membantu perniagaan lain, ini beberapa tips bagaimana hendak menarik pelanggan ke premis kedai anda, menggunakan satu strategi unik – iaitu menggunakan Google Maps.
Strategi ini sangat mudah dan tak perlukan masa yang banyak untuk mempraktikkannya.
Malah, anda hanya boleh mendapatkan sukses yang agak besar dengan hanya komit masa 30 minit – 60 minit sehari untuk melakukan strategi ini. Ia juga amat mudah untuk menyerahkan tugas ini kepada pembantu atau staff sekiranya anda ingin fokus masa pada tugasan lain.
Namun untuk dapat hasil yang berkesan, anda haruslah ikuti saranan ini langkah demi langkah – kerana kami juga telah menjalankan banyak uji kaji – dan kebanyakannya gagal! Oleh itu kami sudah makan garam dan berjaya mengenalpasti apakah yang berkesan, dan apakah yang tidak berkesan. Artikel ini memberikan anda ‘short-cut’ untuk sukses dengan cepat.
Kenapa Strategi Ini Berpotensi Besar
Untuk sebuah perniagaan bertahan lama, ia harus menambat hati pelanggan di kalangan penduduk setempat. Samada penduduk yang tinggal di kawasan berdekatan. Ataupun orang-orang yang bekerja di pejabat-pejabat berhampiran.
Di sekeliling anda mungkin terdapat pejabat-pejabat, sekolah, balai bomba, bank, klinik, balai polis, pusat tuisyen – yang mana setiap pejabat ini mungkin mempunyai ramai pekerja-pekerja.
Sebagai contoh, satu pejabat di sebuah syarikat kecil biasanya ada sekitar 5-20 pekerja. Jika anda dapat menambat hati semua kakitangan di satu pejabat, bermakna anda bakal dapat anggaran 5-20 pelanggan yang setia. Bagaimana jika anda berjaya mendapat hati 10 pejabat sekeliling?
Nampakkah potensi dapat 50-100 pelanggan setia?
Untuk menerjah masuk ke setiap pejabat ini agak kurang sesuai. Kerana kebanyakan premis tidak suka jurujual masuk dan buat apa-apa promosi jualan.
Tetapi dengan kaedah unik dengan strategi Google Maps ini, anda akan dapat satu cara untuk menghubungi mereka dengan Whatsapp atau Email. Melalui skrip perbualan yang terbukti, mereka akan mudah untuk respon.
Langkah-Langkah Mudah Yang Perlu Dilakukan
Langkah Pertama – Kenalpasti Pejabat Di Sekeliling Yang Paling Hampir Dengan Kedai Anda
Anda boleh masuk ke maps.google.com dan masukkan kawasan anda dalam carian. Dan cuba perhatikan apa yang terdapat di sekeliling?
Cuba cari samada terdapat bank, klinik, pejabat-pejabat swasta, pejabat kerajaan, dan -lain-lain.
Langkah Kedua – Klik pada setiap premis dan dapatkan “contact info”
Klik setiap premis tersebut dalam google maps, dan catatkan nombor telefon, email, website, atau apa sahaja info yang membolehkan anda berhubung dengan mereka.
Contohnya apabila kita klik pada kedai Dealofa Butik ini, kita boleh perhatikan alamat dan nombor telefon yang tertera.
Kedai ini mungkin mempunyai 3-5 pekerja yang boleh dipelawa untuk datang ke kedai kita.
Pelawaan tersebut mesti mengikut format dan langkah seterusnya ini.
Langkah Ke-3- Pelan Satu Offer “Front End”
Front End offer adalah satu tawaran yang berisiko rendah, dan tidak memerlukan orang berfikir panjang untuk buat keputusan.
Sebagai contoh, Front End offer bagi restoran adalah “Roti Canai RM1”.
Atau Front End Offer bagi sebuah spa mungkin boleh jadi “Facial + Shoulder Massage RM39”.
Untuk Workshop kereta pula, front end offer boleh jadi “Tukar Oil Filter Baru RM5 Termasuk Upah” atau “Diskaun 15% Untuk Servis Kereta”.
McDonalds contohnya menggunakan ice cream RM1 sebagai front end offer.
Setelah anda berjaya merancang dan memutuskan “Front End” offer anda, boleh lah anda mulai menghubungi premis-premis tadi.
Langkah Ke-4 – Hubungi Mereka
Sebaiknya anda ingin gunakan Whatsapp, dan jangan sekali-kali terus promote kedai atau produk anda. Ia mesti dijalankan dengan berhemah.
Mulakan dengan bertanya dulu seperti “Ini butik dealofa ke?”.
Dan tunggu mereka respon.
Respon pertama ini sangat penting. Jangan sekali-kali promote kedai anda jika mereka tidak respon.
Setelah mereka respon, anda harus balas dengan menyatakan bahawa anda adalah jiran berdekatan.
Contohnya “Saya dari workshop kereta ABC, selang 2 jalan je dari butik Dealofa. Saya nak pelawa utk datang servis dengan promo istimewa utk semua staff Dealofa:”
Memperkenalkan diri, dan menyatakan anda berjiran sangat penting.
Langkah Ke-5 – Tawarkan Front End Offer
Setelah mereka respon, anda boleh terus tawarkan Front End offer yang telah dirancang tadi.
Pastikan Front End Offer tersebut ditulis dengan lengkap seperti, dan mengandungi maklumat berikut:
- Apakah ‘offer’ tersebut
- Apakah manfaat offer tersebut
- Berapakah harga asal
- Berapakah harga offer
- Bila tarikh tamat offer
- Nombor telefon wakil & nama wakil
- Alamat
- Link ke peta Google Maps atau Waze ke premis anda
Jika front end offer anda bagus dan menarik minat, kemungkinan mereka akan Forward mesej whatsapp anda pada kenalan mereka.
Bagaimana Ingin Menambahkan Keuntungan?
Front End offer tersebut tidaklah akan memberi keuntungan besar.
Tetapi kita harus faham, tugas asalnya bukan untuk memberi keuntunga.
Tugas utamanya adalah sebagai penarik.
Apabila kunjungan dari pelanggan sudah tiba, anda harus ada Piramid Harga yang akan memberikan keuntungan lebih besar.
Melihat pada piramid di atas, bahagian bawah piramid adalah luas. Mewakili bilangan pelanggan yang banyak. Tetapi memandangkan front-end biasanya berharga murah, keuntungan dari sini amat sikit. Malah ada yang hanya “pulang modal” sahaja.
Di bahagian paling atas pula, piramid ini meruncing dan tidak luas. Menunjukkan bilangan pelanggan tidak banyak untuk kategori ini. Tapi “profit” paling banyak akan didapati di “back-end”.
Ini contoh bagi McDonalds
- Front-End = Ice Cream RM1
- Flagship = Happy Meal
- Back-End = Birthday Party
Bagaimana Jika Tiada Nombor Telefon?
Semasa kita melihat perincian kedai di Google Maps, kadang-kala nombor telefon handphone premis tersebut tidak dipaparkan. Jadi bagaimana nak berhubung dengan mereka?
Biasanya nombor telefon “landline” akan terpapar. Jika ada, kita boleh terus buat panggilan. Biasanya “receptionist” akan angkat call. Anda boleh perkenalkan diri sama seperti di atas, dan menyatakan anda berjiran.
Pelawa receptionist tersebut untuk datang ke kedai dan tawarkan Front End Offer anda.
Anda juga boleh tawarkan untuk berikan info lengkap tawaran anda ke email atau whatsapp receptionist tersebut. Ini langkah yang penting supaya receptionist tersebut boleh forward pada rakan sekerja dan juga kenalan lain. Jika mereka tidak selesa memberikan nombor whatsapp peribadi, boleh minta email mereka – kerana ia lebih selamat dan kurang berisiko pada pandangan mereka.
Jika nombor telefon tidak terpapar, kadang-kadang URL website akan terpapar. Jadi anda boleh terus klik pada website tersebut, dan kebiasannya maklumat seperti nombor telefon atau email akan terpapar di website tersebut.
Kesimpulannya
Mendapatkan sokongan penduduk dan pekerja setempat amat penting bagi kelangsungan bisnes.
Jika kita mengharapkan pelanggan yang kebetulan ternampak atau lalu lalang – ia tidak akan memberikan bisnes yang stabil jangka-masa panjang.
Ada sesetengah premis kedai mengharapkan pelanggan bermusim-semata-mata. Contohnya kedai yang berhampiran dengan Universiti – dan mengharapkan kunjungan pelajar-pelajar. Tetapi bila cuti semester pelajar akan pulang ke rumah dan kunjungan tersebut akan hilang.
Oleh itu sangat penting membina hubungan rapat dengan penduduk dan pekerja setempat.